KETUA jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak tidak menyangka berjaya menundukkan bekas kelabnya, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 3-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar kelmarin sekali gus layak ke pusingan separuh akhir Piala Cabaran dengan agregat 0-4.
Menurut Aidil, kemenangan itu tidak dijangka apabila melawan pasukan yang memiliki bajet lebih tiga kali ganda besar.
“Setelah melalui empat musim di Kedah, sudah tentu saya ada nilai sentimental apabila kembali tetapi semua itu harus diketepikan dan saya sangat berbangga dengan aksi ditampilkan barisan pemain.
“Bukan mudah untuk menang dua perlawanan ke atas Kedah di laman sendiri dan ‘rumah’ mereka, tetapi pemain kami melakukannya, malah melihat kepada peluang terhidang, saya merasakan kami patut menang lebih besar,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan itu.
Kata beliau, sebelum perlawanan, beliau meminta pemain menampilkan aksi terbaik.
“Tak kira apa pun orang cakap tentang Piala Cabaran, kita perlu berusaha untuk mendapatkan sesuatu dan Alhamdulillah, saya fikir ini antara persembahan terbaik kami musim ini,” ujarnya.
Sementara itu, Aidil berkata, kad merah diterima pemain pertahanan KDA FC, Mohd. Akmal Md. Dzahir tidak dianggap sebagai penentu kepada kejayaan pasukannya dalam perlawanan itu.
“Kalau ada yang mengatakan kami menang kerana pemain Kedah menerima kad merah, itu saya tak setuju. Kami telah menjaringkan gol ketika mereka masih memiliki 11 pemain dan dalam bola sepak, kita ada juga mendengar mengenai kemenangan pasukan yang bermain dengan 10 orang.
“Kami tahu KDA sebuah pasukan yang kuat dan mereka cukup bagus, namun kami juga tahu cara untuk mengambil kesempatan terhadap kelemahan dimiliki mereka dan Alhamdulillah, pemain berjaya melaksanakan apa yang dirancang,” katanya.