DAMSYIK, Syria – Sebuah jet pejuang Amerika Syarikat (AS) menembak jatuh dron Turkiye, semalam selepas ia terbang berhampiran askar-askar AS yang beroperasi di timur laut Syria, kata dua pegawai pertahanan Washington seperti laporan saluran berita NBC News.
Kejadian luar biasa melibatkan dua sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) itu berlaku selepas insiden serupa tercetus pada hari sama.
Menurut mereka, tiada petunjuk bahawa Turkiye sengaja menyasarkan tentera AS dan tidak ada askar negara ‘Uncle Sam’ yang cedera dalam kejadian tersebut.
Dua dron bersenjata Turkiye terbang berhampiran tentera AS yang berada di sebuah lokasi dekat Hasakah sekitar pukul 7.30 pagi (waktu tempatan) semalam. Mereka ketika itu menyertai operasi memerangi kumpulan militan Daesh.
Setiausaha Akhbar Pentagon, Brigedier Jeneral Patrick Ryder berkata, dron Turkiye itu terbang 1 kilometer dari kedudukan tentera AS dan melancarkan serangan udara begitu hampir dengan askar-askarnya yang terpaksa berlindung di dalam kubu bawah tanah.
Selepas AS menghubungi Turkiye beberapa kali dan memberi amaran bahawa dron Ankara menggugurkan bom berhampiran tentera AS, dron terbabit beredar, demikian menurut dua pegawai pertahanan tersebut.
Kira-kira empat jam kemudian, sebuah dron bersenjata terbang di lokasi sama, manakala tentera AS mengerahkan beberapa jet tempur, F-16 untuk memintas dan memusnahkannya dengan tembakan peluru berpandu.
Ryder berkata, AS menembak jatuh dron itu bagi mempertahankan diri dan menyifatkannya sebagai insiden dikesali, manakala tiada komen daripada Turkiye berhubung kejadian tersebut. – AGENSI