PETALING JAYA – Jenazah pendaki Malaysia, Hazlami Ahmad Nizam, 33, yang meninggal dunia ketika pendakian ke Mera Peak, Nepal, dijangka akan dibawa turun hari ini dan dirujuk ke hospital berdekatan bagi pemeriksaan lanjut.
Menerusi satu kenyataan, keluarganya mengesahkan menerima berita kematian kakitangan Petronas Chemicals tersebut semalam, dan jenazah dalam proses dibawa keluar oleh pasukan penyelamat.
“Ketika ini pasukan penyelamat sedang berusaha menurunkan jenazah Hazlami ke altitud yang lebih rendah supaya dapat dibawa keluar oleh helikopter.
“Jenazah beliau seterusnya akan dibawa ke hospital di Lukla bagi proses seterusnya dan ia akan mengambil masa agak lama serta bergantung sepenuhnya kepada keadaan cuaca ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, keluarga Hazlami yang telah selamat tiba di Kathmandu petang tadi bersyukur di atas sokongan dan bantuan yang diberikan susulan penerimaan berita menyedihkan itu.
“Kami telah tiba di sini untuk proses pengurusan jenazah. Kami juga amat terharu di atas sokongan yang telah diberikan oleh saudara-mara, kawan-kawan, majikannya dan komuniti pendakian Malaysia.
“Hazlami merupakan seorang individu yang berjiwa kental, periang, menyukai sukan lasak dan mencabar. Beliau adalah seorang suami yang penyayang dan bertanggungjawab,” tambahnya.
Terdahulu media tempatan melaporkan, Hazlami yang merupakan bapa kepada tiga orang anak itu meninggal dunia ketika mendaki Mera Peak, Nepal semalam.
Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia (Malawakil) di Nepal ketika dihubungi berkata, pihaknya ada menerima berita kematian rakyat Malaysia ketika mendaki puncak pada ketinggian 6,476 meter dari aras laut. – KOSMO! ONLINE