ALOR GAJAH – Seorang lelaki dihukum penjara 17 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri sebuah motosikal dan set meja besi, bulan lalu.
Tertuduh, Yusni Long, 47, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati dengan niat curang telah mencuri sebuah motosikal dengan nombor pendaftaran MCF 9803 jenis Modenas berwarna biru milik Bong Kim, 76.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 2 petang di Nursery Semaian Seri Wangi, Rembia dalam daerah Alor Gajah pada 13 September lalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas telah melakukan kesalahan mencuri satu set meja besi bersama empat buah kerusi besi milik Idris Md. Alif, 54.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 6.30 pagi di hadapan sebuah rumah lot, Jalan Melor 1, Kampung Baru Paya Datuk dalam daerah Alor Gajah pada 13 September lalu.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan penjara 12 bulan bermula dari tarikh sabitan untuk pertuduhan pertama sementara penjara lima bulan bagi kes curi set meja besi yang akan berjalan selepas hukuman terdahulu tamat.-KOSMO! ONLINE