fbpx

Bayi 8 bulan maut dalam kereta tempat parkir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan disahkan meninggal dunia selepas hampir 10 jam ditinggalkan dalam kereta di tempat letak kenderaan, di sebuah hospital, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pegawai perubatan hospital berkenaan menerima laporan pada pukul 5.53 petang, berkaitan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan bulan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri, di tempat letak kenderaan hospital itu.

Jelasnya, mangsa disahkan meninggal dunia pada hari sama.

“Hasil siasatan awal mendapati, pada pukul 7.20 pagi, ibu mangsa meletakkan mangsa di bahagian belakang tempat duduk penumpang sebelah kiri di dalam keretanya untuk dihantar ke taska.

“Bagaimanapun, ibu mangsa terus memandu keretanya ke tempat kerja dengan anggapan bayi itu sudah dihantar ke taska,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Zam, ibu mangsa hanya menyedari mangsa masih berada di dalam keretanya pada petang hari sama selepas dimaklumkan oleh suaminya bahawa mangsa tidak dihantar ke taska.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak.

“Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 50 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.

Difahamkan, ibu mangsa merupakan seorang doktor di hospital berkenaan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI