fbpx

5 tahun dikejar ‘stalker’, Amanda Amry hidup trauma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amanda Amry pernah sebulan tidak keluar rumah kerana bimbang diekori penghendap.

SIAPA tidak berasa gementar diekori penghendap yang hakikatnya selalu memerhati setiap gerak geri tanpa disedari.

Pelakon muda, Amanda Amry antara mangsa gangguan serupa apabila mengakui sentiasa dalam radar ‘intipan’ individu tidak dikenali.

Pendedahan tersebut dibuat selepas melihat kejayaan seorang wanita yang dapat mengheret penghendap ke muka pengadilan baru-baru ini, sekali gus menguatkan semangatnya untuk bertindak.

Berkongsi cerita, individu yang difahamkan mempunyai masalah kesihatan mental itu mengikuti pergerakannya sejak lima tahun lalu, namun hanya disedari sekitar 2022.

“Saya pernah berdepan dalam beberapa siri kes gangguan seksual termasuk paling menakutkan diikuti penghendap sejak 2018, tetapi hanya saya perasan tahun lalu.

“Dia selalu memuat naik setiap pergerakannya dalam Twitter dan apa yang mengejutkan, lokasi dan masa dikongsikan bersamaan dengan tempat di mana saya dan keluarga berada.

“Bayangkan kami sekeluarga bercuti di Melaka dan Genting, dia turut mengekori saya hingga ke sana,” katanya.

Paling menakutkan apabila lelaki sama sanggup mengikuti bapanya bersolat di masjid semata-mata ingin menyatakan perasaan terhadap pelakon berusia 20 tahun itu.

“Pernah satu hari individu itu solat di belakang bapa saya untuk memaklumkan dia mempunyai perasaan terhadap saya.

“Bapa saya layan dia baik, tetapi itu yang nendorongnya datang ke rumah kami sekitar pukul 11 malam selain tidak berhenti bunyikan loceng,” katanya lagi.

Disebabkan insiden tersebut, pelakon drama Nikah, Cerai, Rujuk itu hidup dalam trauma sehingga lebih selesa berkurung di rumah.

Tidak berdiam, Amanda turut melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa tetapi hingga kini belum ada tindakan lanjut.

SEBAGAI langkah berwaspada, pelakon berusia 20 tahun itu hanya membalas mesej daripada kenalan dan peminat perempuan.

Trauma

“Akibat ketakutan, saya pernah tidak keluar rumah selama sebulan serta tidak muat naik gambar pada masa sama dan lokasi sama berada dalam media sosial.

“Sehingga kini, saya hanya balas mesej dalam media sosial daripada kenalan perempuan.

“Saya pernah mengajukan laporan polis sebelum ini tetapi ketika itu masih tiada akta terhadap penghendap.

“Jadi, polis tak ambil apa-apa tindakan kerana tiada sentuhan fizikal yang berlaku,” ujar pelakon yang baru cuba berjinak-jinak dengan perniagaan itu.

Pelakon yang bakal melancarkan single pertamanya itu turut mengakui sangat berwaspada, lebih-lebih lagi dia seorang sahaja anak perempuan dalam keluarga.

“Buat masa sekarang dia tidak ganggu kerana dia disahkan menghidap bipolar dan dirawat di hospital ketika kali terakhir mendapat tahu tentang keadaannya.

“Selepas kejadian, kami sekeluarga sangat berhati-hati tambahan pula saya anak perempuan tunggal, jadi memang sentiasa berteman.

“Sebelum ini pun ibu bapa saya sangat melindungi saya malah selepas insiden mereka menjaga saya lebih ketat,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI