SINGAPURA – Sekurang-kurangnya 30 orang mengalami keracunan makanan selepas menghadiri sebuah majlis perkahwinan di hotel St Regis di Singapura, lapor laman berita Mothership semalam.
Agensi Makanan Singapura (SFA) berkata, tiada seorang pun daripada mereka yang mengalami keracunan makanan dimasukkan ke hospital selepas pulang dari majlis tersebut.
Antara yang terjejas termasuk pengantin perempuan.
Tambah SFA, pihaknya masih menyiasat kejadian itu bersama Kementerian Kesihatan.
Jurucakap St Regis berkata, pihak hotel sudah dimaklumkan mengenai laporan tetamu jatuh sakit selepas makan tengah hari di dewan Caroline’s Mansion.
Pihak hotel telah melancarkan siasatannya sendiri berhubung kejadian itu, termasuk pemeriksaan oleh pegawai kebersihan mengenai proses penyediaan makanan.
Tambahnya, pihak hotel telah menghantar sampel makanan daripada majlis perkahwinan itu untuk ujian makmal yang akan dilakukan oleh pakar-pakar keselamatan makanan bertauliah.
Keputusan ujian bagaimanapun mendapati bahawa ia mengikut garis panduan keselamatan makanan. – Agensi