fbpx

Wujudkan pelan komprehensif hadapi penyakit X

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Sebuah pelan pandemik yang komprehensif perlu diwujudkan bagi memantapkan kesiapsiagaan menghadapi penyakit X yang belum diketahui ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, perluasan kempen vaksinasi dan penyediaan peruntukan khas pandemik juga adalah penting seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Katanya, begitu juga dengan pemantauan berterusan, tindakan proaktif, penggunaan antibiotik yang rasional, langkah-langkah kawalan, dan kerjasama antarabangsa.

“Selain itu, pendekatan ‘One Health’ yang menekankan hubungan antara manusia, haiwan dan kesihatan alam sekitar adalah komponen yang penting untuk mengeratkan kerjasama antara pelbagai disiplin.

“Penjagaan kesihatan individu dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti senaman, menguruskan berat badan dan mengelakkan faktor risiko seperti merokok juga boleh memantapkan kesiapsiagaan terhadap penyakit X,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelas beliau, biarpun ciri-ciri penyakit X masih belum dikenal pasti dan waktu berlakunya penyakit ini belum diketahui, pakar-pakar kesihatan telah menyuarakan kebimbangan terhadap impaknya.

“Berbanding dengan Covid-19 yang kurang menyebabkan kematian, penyakit X dijangka akan mudah tersebar seperti campak dan mungkin mengancam nyawa seperti Ebola,” ujarnya.

Tambahnya, KKM sentiasa bersiapsiaga dan berwaspada terhadap kemungkinan munculnya penyakit X berdasarkan pengalaman lalu dalam menangani penyakit seperti Covid-19, virus Nipah, SARS, dan MERS-CoV.

“Sistem kesihatan negara juga sentiasa diperkukuhkan sebagai persediaan menghadapi sebarang ancaman kesihatan yang mungkin berlaku.

“Walaupun kemungkinan berlakunya penyakit X perlu diberi perhatian, namun kebimbangan berlebihan perlu dielakkan.

“Orang ramai sentiasa dinasihatkan supaya mengikuti garis panduan kesihatan, mengamalkan kesihatan yang baik dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini tentang perkembangan penyakit ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI