fbpx

UMW Grantt perkenal gris gred makanan boleh dibiodegrasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiong Sii (empat dari kanan) melakukan gimik pelancaran Minyak Gris Gred Makanan Pelbagai Guna Dibiodegradasi jenama Grantt yang turut disaksikan olehAnas Nasrun (tiga dari kanan) dan Pengurus Besar UMW Lubetech Sdn. Bhd., Iskandar Mohamed Salleh (dua dari kiri) sempena IGEM 2923 hari ini.

KUALA LUMPUR – Anak syarikat milik penuh Kumpulan UMW dan pengeluar minyak pelincir jenama Grantt, UMW Grantt International Sdn. Bhd. (UMW Grantt) memperkenalkan Gris Gred Makanan Pelbagai Guna Grantt pada Pameran & Persidangan Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) 2023 di sini hari ini.

Pelancarannya disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Seri Huang Tiong Sii.

Gris tersebut merupakan produk pertama seumpamanya yang dikomersialkan di negara ini, dibangunkan menerusi kerjasama UMW Grantt dan UMW Innovation and R&D Centre Sdn. Bhd. bersama Universiti Malaysia Pahang Al Sultan Abdullah.

Ia diedarkan dalam pembungkusan 400 gram dan disasarkan untuk kegunaan noindustri di mana terdapat risiko sentuhan dengan makanan seperti dalam sektor makanan dan minuman (F&B), pertanian, farmaseutikal serta kosmetik.

Gris Gred Makanan Pelbagai Guna Grantt memenuhi pelbagai piawaian antarabangsa seperti DIN 51825, OECD 301B serta OECD 201,202 dan 203, selain mendapat pensijilan MyHijau serta Good Manufacturing Practice (GMP).

Produk berkenaan sedang dalam proses untuk mendapat pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Gris Gred Makanan Pelbagai Guna Grantt sedang dalam proses mendapatkan pensijilan halal.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, UMW Holdings Bhd., Datuk Seri Ahmad Fuaad Kenali berkata, Kumpulan UMW memiliki lebih 60 tahun pengalaman dalam industri pelincir.

“Tahun lepas, Grantt Lubricants telah menceburi bidang produk hijau dengan pelancaran Minyak Hidraulik Grantt Bio VG (VG 46 dan VG 68), dipacu oleh permintaan yang semakin meningkat bagi minyak pelincir yang lebih mampan untuk alam sekitar.

“Ini merupakan produk hijau kedua oleh Grantt Lubricants dan kami akan terus berinovasi dalam memenuhi keperluan pasaran serta membangunkan produk mesra alam yang memberi impak minimum kepada alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kumpulan Bahagian Pembuatan dan Kejuruteraan UMW, Anas Nasrun Mohd. Osman berkata, produk berkenaan turut disasarkan untuk menembusi pasaran ASEAN dan antarabangsa.

“Sebagai pemain baharu dalam gris gred makanan boleh dibiodegrasi, buat permulaan kami akan mengedarkan produk ini kepada pihak industri sebagai pengenalan dan untuk mendapatkan respons balas, proses ini dijangka mengambil masa sekitar tiga bulan sebelum ia mula dijual di pasaran secara rasmi.

“Kami juga sedang dalam proses untuk mendapatkan sijil gred makanan daripada NSF (National Sanitation Foundation, Amerika Syarikat) untuk memasarkan produk ini ke pasaran yang lebih luas,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI