SHAH ALAM – Kerajaan negeri bersetuju nyah rahsia laporan penuh kejadian insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, Disember tahun lalu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, persetujuan hasil Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam dengan dokumen tersebut akan diserahkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Katanya, laporan itu kemudiannya akan dipaparkan di laman sesawang Nadma atau mengagihkan kepada mereka yang memerlukan.
“(Berhubung saranan atau tindakan) itu akan dibuat pihak berkuasa sebab laporan itu sangat teknikal dan itu dipaparkan di laman web Nadma untuk perhatian semua pihak.
“Jadi, semua pihak boleh mengambil tindakan selanjutnya. Namun, yang jelas adalah ia adalah laporan teknikal menjelaskan bagaimana berlakunya peristiwa itu (tanah runtuh),” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Jelas beliau, nama pemilik tapak perkemahan juga terdapat pada laporan tersebut dengan beberapa kawasan terjejas adalah milik perhutanan dan rizab jalan.
Mangsa yang terselamat dalam kejadian itu sebelum ini memohon kerajaan mendedahkan laporan siasatan bagi membolehkan tindakan lanjut dilakukan.
Pada Januari lalu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, laporan awal tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, sudah dibentangkan ke Kabinet.
Tragedi tanah runtuh menyayat hati yang berlaku kira-kira pukul 2.30 pada 16 Disember tahun lalu membabitkan 92 mangsa dengan 31 daripadanya terkorban. -KOSMO! ONLINE.