JAKARTA – Seorang suami di Probolinggo, wilayah Jawa Timur menetak isterinya menggunakan sabit kerana berang wanita itu berkahwin dengan lelaki lain meskipun masih bergelar isterinya yang sah, lapor laman berita Tribunnews semalam.
Suspek dikenali sebagai Bambang, 40, turut dibantu anak lelakinya, Muhammad Nur, 20 untuk membunuh isterinya, A.
Dalam kejadian Jumaat lalu, suspek dan anaknya menghalang A di tengah jalan ketika dia membonceng motosikal bersama suami baharunya.
Ketua Kampung Jrebeng yang dikenali sebagai Ruslan berkata, Bambang dan Muhammad Nur menghalang motosikal tersebut di tengah jalan sebelum menghunus sabit dan menetak mangsa.
Wanita itu mengalami cedera parah di kepala, tangan dan leher selepas ditetak berulang kali dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Tambah Ruslan, suspek dan mangsa memiliki dua orang anak dan mereka tidak tinggal sebumbung sejak tahun lepas.
“Sebelum ini, anak mangsa (Muhammad Nur) pernah membakar rumah ibunya,” ujar Ruslan.
Sementara itu, suspek mengaku menyerang isterinya kerana berang ditinggalkan wanita itu sejak setahun lalu.
Menurut Bambang, isterinya berlaku curang kepadanya dengan mengahwini lelaki lain selepas meninggalkan dia dan anak-anak mereka.
“Mangsa ialah isteri saya. Saya dicurangi,” katanya.
Kes itu masih dalam siasatan polis. – AGENSI