fbpx

Sindiket kutipan derma tumpas selepas 5 tahun beroperasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allaudeen menunjukkan hasil barang rampasan dari kes sindiket penipuan kutipan derma secara dalam talian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini, Hari ini. -ISKANDAR ISHAK/KOSMO!

KUALA LUMPUR -Setelah lima tahun giat beroperasi dalam penipuan kutipan derma, sindiket ‘calling centre’ akhirnya tumpas dalam serbuan di sebuah premis di Kepong, Kuala Lumpur semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 3 petang itu, seramai 55 individu tempatan termasuk 21 wanita ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, kesemua suspek yang ditahan semalam berusia lingkungan 18 hingga 42 tahun.

Katanya, siasatan awal mendapati sindiket ini berperanan sebagai pemanggil yang menghubungi mangsa iaitu penderma individu atau syarikat untuk menghulurkan derma kepada beberapa badan kebajikan.

“Sindiket ini turut mengiklankan derma kebajikan melalui laman sosial Facebook untuk meraih simpati penderma.

“Mereka menggunakan tiga nama persatuan manakala kutipan derma dimasukkan ke dalam tujuh akaun bank milik syarikat.

“Ahli sindiket akan menerima 10 hingga 20 peratus komisen daripada kutipan derma jika kutipan mencapai sasaran yang ditetapkan,”katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Sentul, di sini, hari ini.

Jelasnya, kes ini masih lagi dalam siasatan dan pihaknya sedang mendapatkan kerjasama bank sekali gus memantau kegiatan persatuan serta syarikat terlibat

“Seramai 50 suspek ditahan reman sehingga esok manakala lima lagi ditahan reman sehingga Ahad ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,”tambahnya.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan berkait sindiket ini ke Bilik Gerakan Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/ 0585 atau balai polis berdekatan. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI