KUALA LUMPUR – Tan Sri Mokhzani Mahathir menepati ramalan apabila sah mempertahankan jawatan Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) bagi penggal 2023-2026 biarpun dicabar oleh legenda sukan dua roda negara, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MAM hari ini.
Mokhzani berkata, beliau langsung tidak menyimpan perasaan marah atau sekelumit dendam selepas dicabar oleh Shahrol Yuzy untuk mengambil jawatan No. 1 badan induk persatuan tersebut.
Pada pemilihan jawatan tertinggi MAM tersebut, Mokhzani menang dengan majoriti mudah selepas meraih 13 daripada 18 ahli gabungan yang memihak kepadanya untuk memimpin badan induk tersebut bagi tempoh sepenggal lagi.
“Alhamdulillah, kali pertama pemilihan MAM daripada jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Setiausaha Agung, dan juga Bendahari. Saya dapat kekalkan barisan yang ingin bekerja dengan saya bagi penggal kedua dari 2023 hingga 2026.
“Insya-Allah kami akan teruskan pembangunan sukan bermotor menerusi manifesto yang diedarkan kepada semua ahli gabungan. Tempoh empat tahun ini mungkin cukup untuk kami pastikan hala tuju dan dapat dijayakan dengan sokongan ahli gabungan
“Ini kali pertama kita mendapat cabaran dan pastinya idea mereka bernas. Jadi, saya terbuka untuk duduk bersama mereka untuk menerima segala cadangan. Saya ingin jemput mereka duduk dengan kita dan tidak mustahil dapat wujudkan idea-idea baharu yang boleh digunakan pakai dalam operasi MAM nanti.
“Bagi saya tidak rugi kita bekerjasama dengan mereka dan saya juga tidak simpan dendam walaupun dengan saudara Shahrol Yuzy. Ini keluarga kecil dan tak ada dendam dari mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Mokhzani turut berkata, antara isu utama yang mereka mahu tanggani adalah perlumbaan haram dan kemalangan maut di jalan raya yang semakin meningkat saban hari di negara ini.
“Isu yang kita mahu tanggani adalah perlumbaan haram dan kedua ialah kemalangan yang menyebabkan kematian di jalan raya. Tiap-tiap hari kita menerima laporan berapa ramai orang mati di jalan raya. Jadi, isu tersebut lebih besar.
“Jadi, dengan adanya ikon dalam sukan permotoran ini kita boleh guna mereka untuk memberi saranan agar menggunakan jalan raya dengan lebih selamat. Biarpun bukan tanggungjawab MAM tetapi kita sebagai orang sukan bermotor ini, kita mahu input untuk kita mampu membantu kerajaan,” ujarnya.
Selain itu, tiga jawatan lain yang turut dipertandingkan dan kekal adalah Datuk Mohd. Rhiza Ghazi sebagai Timbalan Presiden MAM selepas dicabar bekas pelumba dan kini merupakan Steward FIM Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), Kuan Meng Heng.
Bagi jawatan Bendahari MAM pula, Datuk Razlan Razali kekal dengan jawatan tersebut biarpun undian terikat sembilan sama selepas dicabar Jed David biarpun undian dibuat sekali lagi. Bagaimanapun, David memberi laluan kepada Razlan kekal dengan jawatan tersebut. -KOSMO! ONLINE