ALOR SETAR – Sasaran Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk menjulang sekurang-kurangnya satu piala musim ini ranap apabila turut tersingkir daripada saingan Piala Cabaran 2023.
Ia setelah pasukan itu tewas 0-3 kepada Kuching City FC di Stadium Darul Aman, di sini sebentar tadi.
Kekalahan itu menjadikan mereka tumpas 0-4 secara agregat, setelah turut tunduk 0-1 kepada pasukan sama di tempat lawan dalam pertemuan pertama pada 19 September lalu.
Abu Kamara yang merupakan penjaring terbanyak Kuching City FC musim ini membuatkan penyokong tuan rumah tergamam apabila dia membuka jaringan menerusi tandukan pada minit ke-10, setelah menerima bola hasil sepakan percuma dari kapten pasukan, Mohamad Alif Hassan.
Pasukan pelawat kemudiannya mengukuhkan keadaan pada minit ke-72 dengan penghasilan gol kedua menerusi Pedro Henrique.
Kemenangan Kuching City dimuktamadkan pada minit ke-88 menerusi gol ketiga hasil jaringan Pedro.
Dia yang berseorangan dan tidak dikawal mudah menolak bola menewaskan Kalamullah, setelah menerima hantaran dari pemain gantian, Zahrul Nizwan Joe Kifli yang bijak melepasi kawalan pertahanan kanan tuan rumah, Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman. – KOSMO! ONLINE