PETALING JAYA – Pelakon dan penyanyi, Ayda Jebat yang kini hamil tujuh bulan meluahkan rasa tidak selesa apabila perutnya disentuh individu tidak dikenali.
Katanya dalam perkongsian Instagram, sentuhan pada bahagian tersebut disifatkan sangat sensitif terutama kepada ibu hamil.
“Mommies (ibu-ibu). Mommies selesa tak kalau tengah mengandung, orang tiba-tiba kat luar pegang-pegang perut mommies?
“Saya minta maaf. Saya okey saja kalau nak ‘selfie’ pegang bahu ke, tangan saya, itu dah biasa.
“Tapi tengah mengandung ini, sensitif dia lain sikit bila kakak-kakak atau makcik-makcik jumpa, terus pegang, raba-raba perut kita,” tulisnya.
Pelantun lagu Be Mine itu turut mengakui serba salah untuk menegur tindakan mana-mana individu dimaksudkan yang mungkin terdiri daripada peminat, selain memahami keterujaan mereka bertemu golongan artis.
Pada masa sama, isteri kepada pengacara Nabil Mahir itu mengharapkan pengertian dan doa yang baik-baik daripada semua.
“Nak tegur, tapi tak terkeluar pula kata-kata. Faham kadang-kadang mak cik teruja. Tapi, harap faham situasi kita dan terima kasih atas doa yang baik untuk saya dan bayi. Itu sudah memadai.
“Ada yang sambil pegang, sambil ‘acik kalau kuis macam ini saja dulu, bayi dah tendang. Kejap, tunggu anak Ayda tendang tak’. Saya muka dah petak.
“Kalian rasa bagaimana ya?” tulisnya.
Ayda dan Nabil mendirikan rumah tangga pada 1 Januari tahun lalu dan dikurniakan anak perempuan, Ana Nayla pada 21 September 2022.
Selebriti berusia 31 tahun itu dijangka bakal melahirkan anak keduanya pada Disember depan. – KOSMO! ONLINE.