TAMPIN – Seorang lelaki maut selepas lori dipandunya terlibat kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Tampin-Gemas, dekat Masjid Kariah Kampung Tengah, Gemencheh, di sini, petang tadi.
Ketua Balai Bomba Gemencheh, Penolong Penguasa Bomba (PPgB), Norfaizal Ahmad, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.05 petang.
Menurutnya, seramai lapan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) telah dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah lori lima tan yang dipercayai dalam perjalanan menghantar sayur-sayuran dari Tangkak ke Pasar Gemencheh. Lori itu terbabas dan melanggar sebuah treler yang diparkir di bahu jalan.
“Pemandu lori muatan sayur iaitu lelaki warga emas berusia 65 tahun tersepit berjaya dibawa keluar kira-kira 15 minit oleh pasukan bomba dan disahkan telah meninggal dunia.
“Manakala, dua lagi lelaki dipercayai pekerja berjaya keluar sendiri sebelum kita sampai ke lokasi kejadian. Mangsa kemalangan yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE