GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bersedia untuk bekerjasama dengan semua sekolah di negeri ini bagi melaksanakan penjimatan air dengan lebih berhemah.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, K. Pathmanathan berkata, antara langkah-langkah yang boleh diambil adalah pemasangan peranti penjimatan air (WSD) di semua tandas sekolah untuk menjimatkan air secara automatik dengan setiap penggunaan.
“Pihak sekolah juga boleh mendidik dan mengingatkan murid-murid supaya mengamalkan tip penjimatan air seperti tidak membiarkan pili air mengalir.
“Selain itu, mereka boleh meminimumkan penggunaan hos semburan dan melaporkan paip atau pili yang bocor kepada pentadbir sekolah dengan segera,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, pihak sekolah dapat mengurangkan penggunaan air secara keseluruhan untuk kerja-kerja berkebun, pembersihan dan penyelenggaraan di sekolah.
“Pihak sekolah boleh melaksanakan projek penjimatan air sekolah seperti sistem penuaian air hujan yang inovatif untuk menakung air untuk kegunaan berkebun atau memasang sistem tandas yang meminimumkan penggunaan air untuk tujuan pembilasan.
“Pihak sekolah juga perlu membaiki atau menukar semua paip dan pili yang bocor di kawasan sekolah dengan segera dan menghubungi PBAPP untuk menggantikan meter air sekolah lama yang mungkin tidak berfungsi,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, sebenarnya bil air hanya terdiri sebahagian kecil daripada keseluruhan kos operasi sekolah berbanding kos sumber manusia, elektrik, bahan api, penyelenggaraan, perkhidmatan sokongan dan bekalan boleh guna. – KOSMO! ONLINE