fbpx

Op Lejang: Liew Chin Kang, dalang utama sindiket curi kereta diburu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Liew Chin Kang yang dipercayai sebagai dalang utama sindiket curi kenderaan sekitar Lembah Klang kini diburu polis. FOTO: ISKANDAR ISHAK/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Dalang utama sindiket curi kenderaan sekitar Lembah Klang, Liew Chin Kang, 42, kini diburu polis selepas empat lelaki termasuk tiga warga Myanmar ditahan dalam serbuan di sebuah bengkel kereta sekitar Klang, 18 September lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, suspek termasuk pemilik bengkel kereta terbabit masing-masing berusia lingkungan 26 hingga 42 tahun.

“Susulan dari tangkapan yang dilakukan, kita merampas empat rangka kenderaan dan 15 buah bongkah enjin pelbagai jenis.

“Kesemua rampasan tersebut dianggarkan bernilai lebih kurang RM83,000. Kenderaan yang dicuri sangat lazim dipasaran, antaranya adalah Perodua Myvi dan kereta jenama Mercedes serta Honda,”katanya ketika sidang akhbar di IPD Sentul di sini, hari ini.

Hasil siasatan mendapati modus operandi sesebuah kenderaan yang dicuri diuruskan oleh lelaki warga tempatan dikenali sebagai Liew yang masih bebas.

“Setelah sesebuah kenderaan dicuri, kenderaan atau bahagian yang telah dicuri akan dijual kepada bengkel yang berminat dengan anggaran harga RM5,000 hingga RM7,000, bergantung kepada model sesebuah kenderaan tersebut.

“Sementara itu, pihak bengkel pula akan mengambil alat ganti kenderaan tersebut kemudian dipasang pada kenderaan yang ingin dibaik pulih,”jelasnya.

Tambahnya, semakan mendapati kesemua suspek yang ditangkap tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah lampau dan negatif dadah.

“Mereka masih dalam tahanan reman di IPD Serdang sehingga esok bagi membantu siasatan.

“Kes ini masih dalam siasatan susulan dalang utama iaitu Liew masih belum diberkas. Kita percaya suspek masih berada dalam negara.

“Susulan operasi ini, kita selesaikan 15 kes kecurian yang dilaporkan di mana lima kes di Sentul, Serdang (4), Cheras (3), Wangsa Maju (2) dan satu kes di Brickfield,”ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI