fbpx

Naik hantu jerut leher bini minta duit, hanya dapat RM100

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KESAN jerutan di leher mangsa akibat tindakan berang suspek yang hanya menerima wang RM100 daripada mangsa dalam kejadian di Jalan Kim Kee, Muar semalam.

MUAR – Seorang penganggur sanggup bertindak ganas menjerut leher dan menutup mulut isterinya sehingga tidak sedarkan diri gara-gara isteri hanya memberikan RM100 dalam satu kejadian di sebuah rumah di Jalan Kim Kee di sini, semalam.

Dalam kejadian pada pukul 12.33 tengah malam itu, lelaki berusia 33 tahun dipercayai bertindak di luar kawalan ekoran isterinya tidak memberikan wang yang mencukupi.

Suspek yang tidak berpuas hati dan meminta lebih daripada jumlah yang sudah diterima, tetapi mangsa enggan menunaikan permintaan suspek yang juga seorang penganggur itu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, ekoran permintaan tidak ditunaikan, suspek menjerut leher mangsa dengan tali.

“Suspek juga bertindak menutup mulut mangsa sehingga tidak sedarkan diri. Suspek kemudiannya menampar muka mangsa dan melarikan diri akibat panik selepas mangsa tersedar.

“Mangsa kemudiannya bergegas ke balai polis untuk membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Difahamkan, suspek dan isterinya yang berusia 29 tahun dalam proses perceraian.

Tambah Raiz Mukhliz, bertindak atas laporan itu, suspek berjaya diberkas pada hari yang sama dan dibawa ke IPD Muar untuk siasatan lanjut sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret untuk perintah reman.

“Ujian air kencing suspek adalah negatif dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar dan dirawat sebagai pesakit luar,”katanya.

Sementara itu, Majistret Mahkamah Muar, Fatin Dalilah Khalid membenarkan perintah reman selama lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI