ISKANDAR PUTERI – Pekerja kapal warga Bangladesh yang terjatuh dari kapal ke dalam laut di Blok 15 Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah dekat sini kelmarin, ditemui petang semalam.
Mangsa, Miah Md. Ujjal, 35, ditemui timbul dalam laut oleh kakitangan PTP pada pukul 6.32 petang kira-kira enam meter dari lokasi kejadian.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Khairi Zainuddin berkata, mayat mangsa ditemui pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
“Operasi SAR dilakukan dua anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) di lokasi mangsa dipercayai jatuh dengan radius pencarian 25 meter ke kiri dan kanan kapal.
“Pada pukul 3.15 petang semalam operasi SAR dihentikan sementara disebabkan keadaan arus laut melebihi 2 knot dan berbahaya kepada pasukan PPDA. Operasi disambung semula jam 4.18 petang setelah keadaan kembali normal.
“Tiga anggota PPDA sambung membuat selaman. Pada pukul 6.32 petang, mangsa berjaya dijumpai apabila timbul di permukaan air pada jarak enam meter dari lokasi terakhir mangsa dipercayai jatuh,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, anggota bomba membantu membawa mangsa ke darat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, operasi yang disertai 24 anggota bomba termasuk anggota PPDA dari BBP Skudai ditamatkan pada pukul 8.10 malam.
Dalam kejadian pada 11.22 pagi Selasa lalu, mangsa yang merupakan pekerja kapal telah terjatuh ke dalam laut pada ketinggian kira-kira enam ketika membuat kerja-kerja mengikat kontainer atas Kapal Als Clivia. – KOSMO! ONLINE