KLANG – Tindakan empat sekeluarga termasuk seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) yang tular memukul saudara lain semasa majlis kematian bulan lalu akhirnya berbalas apabila mereka didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, hari ini.
Majistret Siti Zubaidah Mahat menjatuhkan hukuman itu ke atas M. Pooganeswaran, 65 dan anaknya, Suresh, 35, serta adiknya, Sivam, 62, serta saudara mereka, J. J Paragas, 38, selepas kesemua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara bersama.
Mahkamah turut memerintahkan penjara 14 hari sekiranya gagal membayar denda itu. Keempat-empat tertuduh membayarnya.
Berdasarkan pertuduhan, kesemua mereka bersama-sama yang memiliki kayu dan topi keledar semasa merusuh dengan tujuan mencederakan seorang lelaki berusia 34 tahun yang mempunyai kaitan persaudaran di sebuah pangsapuri di Bandar Botanik Klang kira-kira pukul 1 pagi pada 14 September lalu.
Justeru, mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, sekiranya disabitkan kesalahan.
Peguam P. Aravind Raj mewakili keempat-empat bersaudara itu memaklumkan mereka telah insaf dan tidak melakukan perbuatan seumpamanya lagi.
Tambahnya, pergaduhan berlaku susulan sikap pengadu (mangsa) dalam keadaan mabuk telah menghina si mati yang merupakan abang kepada tertuduh pertama dan kedua.
“Akibat rasa sensitif dan tersentuh dengan hinaan dibuat mangsa itu menyebabkan mereka hilang kawalan sebelum berlaku tindakan tersebut (pukul).
“Tiada niat untuk mencederakan mangsa dengan kesemua terlibat telah berdamai,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Jannah Aimi bagaimanapun menegaskan agar hukuman setimpal mengambil kira kecederaan dialami mangsa termasuk di bahagian rusuk, tangan dan kaki.
Kosmo! pada 28 September lalu melaporkan perselisihan faham antara ahli keluarga sewaktu menghadiri upacara kematian mencetuskan pergaduhan sehingga video mengenai kejadian itu tular dalam media sosial baru-baru ini.
Kejadian pada pukul 1 pagi, 14 September lalu itu berlaku di kawasan tempat letak kenderaan sebuah pangsapuri di Bandar Botanik di sini.
Menerusi video tular berdurasi 51 saat itu, seorang lelaki dibelasah sekumpulan individu. – KOSMO! ONLINE