fbpx

Mahkamah: Kontrak Siti Nordiana batal, tidak disambung akibat ‘live’ Instagram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Nordiana (kiri) dan saksi plaintif kedua ketika hadir di Mahkamah Tinggi hari ini. Foto M.Firdaus M.Johari/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Akibat siaran langsung Instagram yang dibuat lima individu memburukkan penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana Alias, telah menyebabkan kontrak bagi tiga iklan komersial selebriti itu dibatalkan serta tidak disambung sebagai duta.

Pengurus kepada Siti Nordiana atau Nana selaku plaintif, Mohammad Al Anas Osman, 39 yang juga saksi plaintif kedua berkata, tiga kontrak iklan komersial itu adalah satu dibatalkan serta dua lagi tidak disambung.

“Pembatalan dan kontrak yang tidak disambung diterima selepas Siti Nordiana selaku plaintif memfailkan saman terhadap lima defendan itu,” kata saksi itu.

Saksi itu berkata demikian ketika disoal peguam, Azlan Abdul Razak yang mewakili
Lan Solo, atau nama sebenarnya Mohd. Razlan Mohamed Yusof, 38; isterinya Nur Sheila Hassim, 38; Zuraidah Badron, 37, selaku defendan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kontrak itu, saksi itu turut berkata, kontrak komersial Siti Nordiana tidak terhad kepada jenama komersial tempatan semata-mata malah turut melibatkan jenama komersial dari luar negara.

Terdahulu saksi itu turut mengatakan kesan daripada siaran langsung Instagram yang dibuat oleh defendan-defendan telah menyebabkan nama baik Siti Nordiana dikalangan masyarakat terjejas teruk.

Ini kerana katanya, siaran langsung Instagram tersebut melalui rakaman YouTube telah mencecah ratusan ribu penonton sehingga hari ini.

“Kesan buruk jangka panjang pula melibatkan kontrak-kontrak komersial kerana pengusaha-pengusaha komersial ini secara umumnya meletakkan syarat Am yang mana personaliti tajaan mereka hendaklah seorang yang tidak mempunyai isu kontroversi dan sentiasa berkelakukan baik,” kata saksi itu lagi.

Saksi itu turut mengatakan dia juga banyak menerima mesej merujuk kepada siaran langsung Instagram yang memburukkan nama penyanyi itu pada awal pagi 21 Julai 2021 melalui laman sosial Facebook.

Sejurus selepas siaran langsung Instagram itu, pada hari sama, saksi itu kemudian menghubungi peguam yang kemudian pihak peguam menasihati supaya plaintif membuat laporan polis selain meneruskan tindakan undang-undang terhadap defendan-defendan.

Perbicaraan dihadapan Hakim Dr. John Lee Kien How @ Mohd. Johan bersambung lagi 30 Oktober ini.

Siti Nordiana, 39, memfailkan saman itu menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates pada 30 Julai 2021.

Penyanyi yang dikenali sebagai Nana itu selaku plaintif menamakan Lan Solo, isterinya Nur Sheila Hassim, Syura, Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 45, serta jurusolek artis, Razidah Ahmad Senusi, 43, sebagai defendan. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI