LONDON – Seorang gadis cantik secara semula jadi dinobatkan sebagai pemenang pertandingan ratu cantik Miss London 2023 yang berlangsung di kota London, lapor akhbar New York Post semalam.
Pertandingan ratu cantik pada minggu lalu itu unik kerana berlangsung tanpa pemakaian mekap.
Natasha Beresford, 26, yang merupakan seorang jururawat pergigian, menewaskan 18 gadis lain dan akan mara untuk bersaing bagi merebut gelaran Miss England akhir tahun ini.
“Saya teruja kerana dipilih sebagai Miss London. Semua gadis yang bertanding sangat cantik dan benar-benar memberikan inspirasi. Jadi, ia satu penghormatan untuk terpilih (sebagai pemenang),” katanya.
Panel juri memberi tumpuan kepada aspek pekerjaan, pendidikan, kecantikan semula jadi dan etika peserta, demikian menurut laman web pertandingan tersebut.
Natasha berasal dari Sheffield dan berpindah ke London dua tahun lalu untuk bekerja di Hospital Pergigian Diraja London.
Pada tahun lalu, dia pergi ke Uganda sebagai sukarelawan Dentaid iaitu badan amal yang memberikan penjagaan pergigian percuma kepada gelandangan, mangsa penderaan, pelarian dan komuniti lain yang memerlukan pertolongan. – AGENSI