PETALING JAYA – Elak bertanya empat perkara sensitif ketika bertemu dengan seseorang seperti soal jodoh, pekerjaan, umur serta zuriat.
Penceramah, Ustaz Yaakub Yusra menerusi hantaran di TikToknya berkata, pertanyaan seperti itu seolah-olah tidak sesuai dan boleh mengguris perasaan seseorang.
“Mengambil contoh keperibadian Nabi SWT, baginda tidak akan sekali-kali bercakap benda yang boleh menyakitkan seseorang itu. Jangan menggunakan perkataan-perkataan yang boleh membuatkan orang berkecil hati dengan kita.
“Sebab itu saya sebut bila kita berkomunikasi dengan orang, kita berjumpa dengan orang, jangan tanya empat benda.
“Yang pertama, jangan tanya orang soal umur dia. Ada sebut dalam kitab-kitab ulama tasawuf, bila jumpa seseorang jangan tanya umur. Yang kedua, jangan tanya pekerjaan dan pendapatan dia. Yang ketiga jangan ditanya soal jodoh orang. Yang keempat jangan tanya tentang zuriat,” pesannya.
Tambahnya, ramai yang suka bergurau sehingga terlupa berjaga-jaga dalam bercakap.
“Kadang niat kita hanya nak bergurau tetapi terguris tanpa sedar, sebab tu nabi pesan jika kita bermasyarakat jangan ditanya empat soalan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE.