fbpx

Daiso bina hab pengedaran terbesar di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin ( tiga kanan) ketika menyaksikan majlis LOA tersebut, hari ini. FOTO: AFIQ RAZALI/KOSMO!

SHAH ALAM – Sebuah hab pengedaran terbesar dunia bagi syarikat pembekal barangan rumah terkenal dari Jepun, Daiso akan dibina di Pelabuhan Klang dekat sini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembinaan itu menunjukkan kepercayaan dan keyakinan syarikat itu terhadap pentadbiran negeri ini.

Katanya, hab sebesar 156,927 meter persegi itu dijangka akan disiapkan pada tahun 2027.

“Ini adalah usaha berterusan digembleng pihak Invest Selangor semenjak beberapa tahun.

“Dengan ada (surat perjanjian ditandatangani) menunjukkan
perkembangan (projek ini) semakin jelas atau hanya tunggu proses Kebenaran Merancang (KM) sempurna. Kita rasa gembira dengan pelaburan bernilai tinggi ini,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Terdahulu beliau menyaksikan majlis tandatangani surat perjanjian (LOA) antara wakil Kumpulan Daiso Malaysia, Kajima-Sunchon dan Sunway Construction Sdn. Bhd.

Amirudin memberitahu, kemasukan pelaburan Daiso ini akan meransang lagi kitaran ekonomi Selangor.

Malah, kata beliau, perbincangan turut dilakukan dalam melihat potensi bagi syarikat tempatan memasuki pasaran Daiso.

“Namun, kita harus memilih daripada kualiti dan kemampuan (syarikat tempatan) disebabkan Daiso mempunyai lebih 5,000 outlet seluruh dunia dari Amerika Selatan sehingga Asia Tenggara.

“Jadi, apabila masuk pasaran Daiso sudah masuk pasaran peringkat dunia,” katanya.

Mengulas lanjut, Amirudin menjelaskan, hub logistik bukan sesuatu yang baharu di Selangor dengan negeri ini pernah menjadi lokasi ketiga bagi pusat pengedaran IKEA.

“Namun, kemasukan Daiso ini adalah ‘level’ lebih besar kerana menjadi pusat pengagihan terbesar Daiso di seluruh dunia,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI