PETALING JAYA – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan menganjurkan BRT Run 2023 buat kali keempat pada 25 November ini sebagai antara acara tahunan di bawah Rapid KL.
Prasarana dalam satu kenyataan berkata, BRT Run 2023 mensasarkan penyertaan seramai 3,000 orang peserta.
“Acara tahunan Rapid KL ini akan membawa peserta-peserta merasai pengalaman menyertai larian malam atau ‘night run’ di atas trek BRT Laluan Sunway di sekitar Bandar Sunway dan Subang Jaya.
“BRT Run pada tahun ini akan menampilkan tema neon yang bakal memberikan pengalaman yang unik kepada para peserta.
“Selain mempromosikan aktiviti riadah dan gaya hidup sihat, acara ini dapat mempromosikan perkhidmatan bas elektrik BRT Sunway sebagai mod pengangkutan eko lestari,” katanya.
Tambah Prasarana, terdapat dua kategori yang dipertandingkan iaitu larian 10 kilometer (km) terbahagi kepada peserta warganegara dan antarabangsa serta larian ‘Fun Run’ 5 km.
“Pemenang kategori larian 10 km bakal membawa pulang hadiah wang tunai, baucer membeli belah serta barangan Rapid KL yang menarik bernilai sehingga RM10,000.
“Bagi larian Fun Run 5 km pula, penamat akan membawa pulang pingat penamat.
“Pendaftaran boleh dilakukan menerusi laman web https://raceroster.com/events/2023/80891/brt- run-2023 sehingga 15 Oktober untuk mendapatkan diskaun pelancaran,” jelas kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE