SETIAP insan yang bernama manusia sudah semestinya tidak pernah terlepas daripada melakukan kesalahan sehingga ada yang menjadi banduan dan menghuni tembok penjara.
Malah, ada banduan yang akan mengetahui tarikh akhir hayatnya apabila dikenakan hukuman mati mandatori dan ada juga yang perlu berhadapan dengan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat.
Namun, kini banduan berhadapan dengan hukuman itu boleh menarik nafas lega apabila kerajaan menguatkuasakan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847).
Pakar Kriminologi dan Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya, Dr. Haezreena Begum Abdul Hamid berkata, akta yang diluluskan baru-baru ini telah memberikan nafas dan harapan baru kepada banduan akhir serta banduan yang telah dijatuhkan hukuman seumur hidup.
Menurutnya, ia juga memberikan harapan kepada ahli keluarga banduan supaya dapat disatukan dengan banduan semula.
“Ini menunjukkan usaha dan komitmen kerajaan Malaysia dalam menegakkan keadilan dan melindungi hak asasi manusia sejagat selaras dengan Artikel 3 Deklarasi Hak Asasi Manusia dan Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan.
“Peranan institusi penjara, peguam, serta Yayasan Guaman Kebangsaan Malaysia juga amat penting dalam mendapatkan semakan semula terhadap hukuman mati atau penjara seumur hidup yang telah dikenakan terhadap banduan,” katanya.
Tambahnya, memandangkan institusi penjara diberikan tanggungjawab untuk memfailkan Notis Permohon dan Affidavit Sokongan untuk semakan hukuman, adalah penting agar mereka diberikan taklimat serta tenaga pekerja yang mencukupi bagi membolehkan mereka memfailkan permohonan dalam tempoh 90 hari.
Perbicaraan semakan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup bukan lah perbicaraan baru atau perbicaraan semula yang melibatkan saksi-saksi tetapi perbicaraan untuk menilai sama ada hukuman yang telah dijatuhkan boleh dipinda atau dikekalkan.
Haezreena Begum menjelaskan, tempoh 90 hari yang diberikan untuk memfailkan Notis Usul dan Afidavit Sokongan di Mahkamah Persekutuan haruslah dilakukan dengan secepat mungkin supaya kes banduan tersebut dapat diberikan tarikh bicara awal.
“Namun begitu, semakan hukuman ini bukan satu jaminan bahawa hukuman mati atau penjara seumur hidup ini akan gantikan atau dikurangkan.
“Mahkamah masih boleh menolak permohonan semakan dan mengekalkan hukuman sedia ada. Bagaimanapun, banduan masih boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Pengampunan,” terangnya.
Tambahnya, walaupun hukuman mati atau penjara seumur hidup telah diberikan setelah melalui proses perbicaraan, namun banduan masih berhak untuk mendapatkan semakan.
Mahkamah harus mendengar setiap permohonan berdasarkan merit serta keterangan yang diberikan di dalam Affidavit Sokongan yang merangkumi faktor seperti umur banduan, tahap kesihatan, tempoh pemenjaraan banduan, kelakuan banduan semasa dipenjarakan, dan pertimbangan yang lain.
Semoga langkah seperti ini dapat memberikan peluang kedua kepada banduan untuk insaf dan berbakti kepada masyarakat.