fbpx

3 penunggang motosikal cedera langgar tapir melintas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEEKOR tapir mati selepas dilanggar tiga penunggang motosikal dalam kejadian di Kilometer 79 Jalan Kota Tinggi - Kluang berhampiran Taman Sri Impian, Kluang malam tadi.

KLUANG – Tiga penunggang motosikal cedera di tangan, kaki dan bahu selepas melanggar seekor tapir yang melintas jalan di Kilometer 79 Jalan Kota Tinggi – Kluang berhampiran Taman Sri Impian, dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian pukul 8.30 malam itu melibatkan tiga buah motosikal yang ditunggang oleh Suhaimi Aziz, 57, Mohd. Edham Saad, 40, dan Amar Iskandar Aidil.

Katanya, hasil siasatan mendapati ketiga-tiga penunggang motosikal ini datang dari arah Taman Sri Impian ke Taman Sri Lambak sebelum melanggar seekor tapir yang sedang melintas jalan di lokasi kejadian.

“Akibat daripada kejadian itu ketiga-tiga penunggang motosikal mengalami kecederaan di kaki, tangan, bahu dan badan sebelum dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang.

“Kes akan disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor meminta orang ramai yang menggunakan laluan di Jalan Kota Tinggi- Kluang lebih berhati-hati dengan kehadiran tapir di kawasan tersebut.

Pengarahnya, Aminudin Jamin berkata, Pengguna jalan raya diminta lebih berhati-hati pada waktu malam kerana difahamkan kawasan di situ gelap kerana tiada lampu jalan.

Katanya, pemasangan papan tanda dan had kelajuan di kawasan lintasan hidupan liar telah dipasang di jalan Kota Tinggi-Kluang.

“Tapir aktif bergerak pada waktu malam begitu juga dengan gajah, kemungkinan besar haiwan liar ini bergerak dari Taman Negara Endau-Rompin ke kawasan hutan berdekatan Kluang.

“Sekitar daerah Kluang ada hutan yang cukup besar yang menjadi habitat haiwan liar seperti gajah dan tapir,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI