fbpx

USM buka peluang syarikat tempatan jalin kerjasama bidang penyelidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shaharum (tiga dari kiri) dan Mohd. Shahfieq (tiga dari kanan) bersalaman pada Majlis MoA antara USM dan ZN Abqary di USM, Kubang Kerian hari ini. Foto oleh ROSLIZA MOHAMED/ KOSMO!

KOTA BHARU – Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian di sini sentiasa membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk bekerjasama dalam bidang penyelidikan melibatkan produk keluaran mereka.

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin berkata, kerjasama dalam bidang penyelidikan itu penting kerana USM sudah melahirkan ramai saintis dalam pelbagai bidang.

Katanya, lebih daripada tiga buah syarikat sudah menjalinkan kerjasama dengan USM termasuk usahawan produk kosmetik pada tahun ini.

“Oleh itu, USM mengalu-alukan mana-mana syarikat yang berhasrat untuk menjalinkan kerjasama dalam pelbagai bidang penyelidikan.

“Bagaimanapun, USM akan meneliti terlebih dahulu sesuatu produk demi menjaga keselamatan umum,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara USM dan ZN Abqary Enterprise (ZN Abqary) di USM, Kubang Kerian di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Shaharum memberitahu, kos penyelidikan produk di USM juga lebih berpatutan berbanding universiti luar negara apabila pihak universiti itu mempunyai banyak kemudahan untuk membuat kajian.

Katanya, perjanjian penyelidikan merupakan langkah awal dalam usaha menggabungkan penyelidikan dan pelbagai latar belakang untuk menangani masalah baharu terutamanya dalam bidang perubatan komplementari dan tradisional.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ZN Abqary, Mohd. Shahfieq Senan berkata, kerjasama itu penting dalam memastikan produk keluaran syarikatnya mempunyai gred yang baik selain selamat untuk pengguna.

Katanya, produk tersebut dapat membantu mengurangkan tahap kolesterol jahat dalam badan sekali gus membantu merendahkan risiko penyakit kardiovaskular dalam kalangan rakyat Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI