BERLIN – Bintang Manchester City, Erling Haaland enggan dihimpit kekecewaan berterusan dan nekad bangkit pada aksi Kumpulan G Liga Juara-Juara bertemu RB Leipzig di Red Bull Arena, awal pagi esok.
Penyerang Norway itu pastinya mahu mengembalikan reputasinya sebagai salah seorang penggempur berbisa selepas dipalit isu penyudah tumpul ketika tunduk 2-1 kepada Wolverhampton Wanderers, Sabtu lalu.
“Saya sentiasa berterima kasih atas segala sokongan anda. Sudah pasti kami akan belajar sesuatu daripada perlawanan itu (menentang Wolverhampton Wanderers) dan kami akan lakukan lebih baik pada masa akan datang,” katanya yang cukup menghargai komitmen penyokong.
Sejak melengkapkan perpindahan dari Borussia Dortmund setahun yang lalu, Haaland merekodkan prestasi luar biasa apabila meledak 60 gol dalam 61 penampilan di semua pertandingan sekaligus membolehkannya dinobat salah seorang penyerang terbaik dunia.
Pada aksi pembukaan Kumpulan G bulan lalu, The Citizens sudah pun bermula langkah kanan apabila menang 3-1 ke atas Red Star Belgrade, keputusan sama dicatatkan RB Leipzig yang mengatasi Young Boys.
Pada aksi menentang Wolves, Haaland berdepan kesukaran dan mengikut statistik penyerang itu hanya mampu melakukan 15 sentuhan bola apabila kelibatnya dikawal rapi oleh pasukan lawan yang menggunakan lima pertahanan.
Selain itu, kemenangan ke atas RB Leipzig pastinya cukup penting sebelum hadapi satu lagi tugasan mencabar menentang Arsenal dalam kempen Liga Perdana Inggeris. – AGENSI