GEORGE TOWN – Polis mengesahkan masih ramai warga asing di daerah Timur Laut di sini menggunakan kenderaan khususnya motosikal tanpa lesen selain didaftarkan atas nama pemilik warga tempatan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, situasi tersebut dikesan menerusi Operasi Khas Pemandu Warga Asing yahg dilaksanakan pihaknya selama tiga hari sejak Isnin lalu.
Menurutnya, hasil operasi tersebut, sebanyak 49 saman telah dikeluarkan membabitkan pemeriksaan ke atas 118 pemandu warga asing terdiri 19 warga Rohingya, Myanmar (14), Indonesia (10), Bangladesh (48), Pakistan (18) dan Nepal (9).
“Daripada jumlah 49 saman yang dikeluarkan, 28 saman dikenakan atas kesalahan tiada lesen memandu, tiada cukai jalan (10), tiada perlindungan insurans (5), lesen tamat tempoh (3), nombor pendaftaran fancy (2) dan ekzos bising (1).
“Dalam tiga operasi tersebut, sebanyak tiga buah motosikal telah disita yang didaftarkan atas nama pemilik warga tempatan, namun digunakan oleh warga asing bersama tangkapan seorang lelaki warga Nepal atas kesalahan memandu dengan kepekatan alkohol yang lebih,” katanya kepada pemberita pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPD TL) di sini, hari ini.
Justeru, beliau memberitahu, operasi tersebut akan diteruskan bagi memastikan pemandu-pemandu yang tidak mempunyai sebarang lesen memandu supaya tidak mengendalikan kenderaan bermotor di jalan raya. – KOSMO! ONLINE