PENGENDALI Bali United, Stefano Cugurra seakan berada dalam situasi tekanan untuk berdepan wakil negara, Terengganu (TFC) pada aksi kedua Kumpulan G Piala AFC, malam ini.
Selain dipalit tekanan penyokong yang mendesaknya lepaskan jawatan, Cugurra juga sedar Terengganu sudah terbukti lawan sukar kerana berjaya tewaskan kelab Australia, Central Coast Mariners pada perlawanan pertama.
“Mereka adalah pasukan kuat di Liga Malaysia (Liga M). Saya pernah berada di Malaysia dan saya tahu mereka ada bajet besar yang membolehkan mereka dapatkan pemain berkualiti.
“Terengganu juga beraksi baik di gelanggang mereka sendiri namun kami juga tidak kurang hebatnya. Kelab sedang berada pada tahap terbaik dan kami perlu pastikan semuanya berada dalam keadaan terbaik untuk hadapi perlawanan ini,” katanya.
Dalam empat perlawanan Liga 1 Indonesia sepanjang September, Bali United dihimpit prestasi ‘yo-yo’ apabila dua kekalahan, satu seri dan menang sekali namun skuad Serdadu Tridatu cemerlang apabila belasah kelab Filipina, Stallion Laguna 5-2 pada perlawanan pertama Piala AFC.
“Ini adalah pertandingan peringkat Asia dan jika mahu raih kejayaan kami kena bekerja lebih keras malah kami juga perlukan sokongan daripada peminat. – KOSMO! ONLINE