fbpx

Perjuangan Johari direalisasi, projek lebuh raya Pelangai diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDUL RAHMAN beramah mesra dengan masyarakat Orang Asli pada program ramah mesra dan santuni saudaraku di Kampung Orang Asli Hulu Semeii di Bentong hari ini.

BENTONG – Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai akan menerima manfaat besar apabila pembinaan Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dari Bentong ke Simpang Pelangai akan diteruskan dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, projek pembinaan jalan sepanjang 35 kilometer bernilai RM987 juta itu diangkat dalam Rolling Plan Rancangan Malaysia Ke-12.

“Dari segi Jabatan Kerja Raya reka bentuk semua sudah siap, dari segi permohonan kami sudah mohon dan dari segi sokongan daripada Menteri Besar Pahang dan telah kami angkat, cuma menunggu kelulusan.

“Ini (pembinaan LTU dari Bentong ke Simpang Pelangai) diutarakan oleh Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang berbincang dengan saya, saya utarakan dan bangkitkan dalam mesyuarat jadi ia (LTU) menjadi salah satu keutamaan,”katanya dalam sidang akhbar pada program ramah mesra dan santuni saudaraku di Kampung Orang Asli Hulu Semeii di sini hari ini.

LTU atau sebelum ini dikenali sebagai Central Spine Road yang menghubungkan Kuala Krai, Kelantan dengan Kuala Pilah di Negeri Sembilan tanpa tol sejauh 325 kilometer membabitkan enam fasa pembinaan dengan kos lebih RM7.3 bilion dengan fasa pertama hingga lima dijangka siap sepenuhnya pada awal 2026.

Sebelum ini pelaksanaan pelan asal LTU melibatkan fasa enam ke Simpang Pelangai tidak termasuk dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dan projek itu terhenti di Sertik.

Menurut Abdul Rahman, pelaksanakan projek tersebut akan dibahagikan kepada tiga pakej yang dijangka disiapkan dalam tempoh selewat-lewatnya empat tahun.

Jelasnya bajet yang diperlukan sememangnya besar kerana pembinaan akan melibatkan kawasan geografi yang pelbagai dan melibatkan pembinaan banyak infrastruktur seperti jambatan.

“Kalau lulus dalam bajet ini Insya Allah akan boleh dibina pada bila-bila masa dan mungkin dalam Pilihan Raya Umum ke-16 tok batin boleh lalu atas jalan LTU itu.

“Dengan adanya lebuh raya ini saya percaya ekonomi masyarakat akan bertambah kerana harga tanah jadi mahal dan di sini dikenali pertanian agak hebat iaitu durian musang king,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI