fbpx

Kes Amang, komunikasi seksual PU Azman dibicara Mei 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PU Azman (kanan) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini. Foto oleh AMIR KHALID/ KOSMO!

AMPANG – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan pendakwah selebriti, Azman Syah Alias, 42, dibicarakan pada Mei tahun depan atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan berkomunikasi secara seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun.

Hakim Norhazani Hamzah menetapkan kedua-dua pertuduhan terhadap Azman Syah atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Azman dibicarakan selama enam hari pada 8, 9, 23, 29, 30 Mei dan 4 Jun 2024.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar pertuduhan amang seksual fizikal yang dikemukakan di Ampang dibicarakan secara bersama dengan pertuduhan berkomunikasi secara fizikal yang sebelum ini dikemukakan di Mahkamah Sesyen Klang.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memaklumkan pertuduhan di Klang telah dipindahkan ke Ampang pada 4 September lalu.

“Kami mengemukakan permohonan di bawah Seksyen 165 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) agar kedua-dua pertuduhan dibicara secara bersama dan pengurusan kes ditetapkan pada 2 April 2024,” ujar beliau.

Permohonan untuk perbicaraan bersama itu tidak dibantah oleh peguam Muhammad Fairuz Iskandar Zainal Abidin yang mewakili Azman Syah.

Norhashimah turut memaklumkan semua dokumen pendakwaan telah diserahkan kepada pihak pembelaan di Klang dan dokumen tersebut sama dengan kes di Ampang.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 November ini bagi sebutan kes bagi mengesahkan sama ada semua dokumen telah diserahkan kepada pihak pembelaan.

Sementara itu, PU Azman ketika ditanya wakil media berhubung perkembangan terkininya memberitahu, dia masih aktif menyampai ceramah atas jemputan pelbagai pihak di negeri lain termasuk Perak dan Selangor.

Ketika ditanya sama ada terdapat pihak-pihak yang menarik balik kerjasama yang dibuat dengannya, Pu Azman berkata tidak pasti berkaitan perkara itu dan buat masa ini dia tidak memikirkannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI