fbpx

Jadi graduan produktif bangunkan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rozali ketika berucap pada majlis konvokesyen PSIS kali-17 hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/ KOSMO!

SABAK BERNAM – Graduan politeknik khususnya perlu lebih proaktif, produktif dan mempunyai wawasan tinggi dalam membangunkan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Industri Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Tan Sri Dr. Rozali Ismail berkata, ini termasuk dalam sumbangan idea dan kepakaran dalam mengatasi segala permasalahan negara termasuk isu keterjaminan makanan.

“Kalau berada di kawasan Sabak Bernam, kita lihat sawah padi luas terbentang selain kelapa sawit dan kelapa.

“Namun, cara pengoperasian tidak banyak berbeza dengan 10 tahun lalu. Sedangkan negara jiran kita iaitu Thailand menghasilkan produktiviti (pertanian) meningkat dari tahun ke tahun.

“Anda semua tahu di Malaysia, kita kekurangan bekalan beras dan sebelum itu telur, ayam dan minyak.Jadi, generasi muda perlu mempunyai produktiviti tinggi membangunkan negara supaya pada masa depan tiada lagi masalah kekurangan bekalan makanan ini,” katanya ketika berucap merasmikan majlis konvokesyen PSIS kali ke-17 di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) memberitahu, negara-negara seperti Jepun, Korea dan Taiwan telah diiktiraf sebagai negara berteknologi tinggi yang menghasilkan produktiviti berlipat kali ganda.

Ujarnya, idea, teknologi jentera serta kajian dalam penghasilan produk berkualiti tinggi amat dinantikan termasuk rakyat negara ini.

“Namun, kita masih belum mencapai tahap diilhamkan (negara maju) atau ditunggu-tunggu para pencipta, pentabir dan kerajaan selepas merdeka 66 tahun.

“Inilah satu cabaran generasi muda perlu difikirkan dan tujuan pendidikan diberikan di semua institut pengajian tinggi supaya golongan muda lebih produktiviti dalam lapangan dan kerjaya diceburi,” katanya.

Mengulas lanjut, Rozali turut menaruh harapan agar graduan PSIS terus menyambung pelajaran meskipun telah bekerja bagi menambah nilai kemahiran dan pengetahuan mereka.

“Jangan selepas ini (konvokesyen) sekadar bekerja, kahwin dan ada anak tetapi tiada sumbangan kepada negara, keluarga dan bangsa.

“Tugas anda lebih mencabar pada masa depan. Masing-masing perlu menyerlahkan kemampuan diri dalam menghadapinya,” katanya.

Seramai 971 graduan dari Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Perdagangan, Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti serta Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dianugerahkan diploma masing-masing pada konvokesyen yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI