KUALA LUMPUR – Selepas berdepan insiden diugut bunuh pada Mac lalu, kumpulan Radja akui masih trauma namun tidak serik kembali menjayakan konsert di Malaysia yang sudah dianggap sebagai rumah kedua.
Vokalisnya, Ian Kasela berkata, perancangan konsert yang bakal berlangsung pada November kelak lebih utama berbanding memperbesarkan kes dengan penganjur sebelum ini.
“Sebagai manusia, wajar untuk kami rasa trauma. Itu pasti akan ada tetapi kami tetap positif kerana ada perkara lebih penting mahu difikirkan.
“Malaysia juga adalah rumah kedua kami. Tidak mungkin kami takut untuk kembali ke sini lagi. Kami juga sudah tidak ambil kisah.
“Ini adalah isu dalaman penganjur sendiri. Cuma kami ambil pendekatan lebih berwaspada terutama membabitkan perincian kontrak dan latar belakang penganjur,” katanya pada sidang akhbar Live In Concert: Radja, hari ini.
Akui Ian lagi, susulan kes yang sudah dibawa ke mahkamah, Radja kini cuba mengelak daripada menggunakan khidmat pihak ketiga.
“Selepas insiden tersebut, kami menghindari orang tengah untuk komunikasi yang lebih aktif dan mengikut prosedur sepatutnya.
“Malah, pihak pengurusan juga menitik beratkan isu keselamatan serta memastikan perbincangan telus dan lebih aktif,” ulasnya lagi.
Sebelum ini, Radja menerima ancaman bunuh daripada dua individu yang dipercayai wakil pihak penganjur selepas selesai mengadakan konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru pada 12 Mac lalu.
Difahamkan, situasi cemas tersebut berlaku susulan salah faham membabitkan pihak penganjur dan band terbabit
Pada 15 Mac seorang pemilik syarikat pengurusan didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap Ian dan anggota Radja.
Selain Ian, 49, Radja yang berasal dari Banjarmasin, Indonesia turut dibarisi Seno Aji, 43, dan Mouldyanshah Mulyadi, 49.
Konsert Radja yang bakal berlangsung di Arena Mega Star Kuala Lumpur pada 12 November depan juga menamakan Ratu Rock Ella sebagai penyanyi undangan. – KOSMO! ONLINE