PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan proses baik pulih tandas di semua sekolah akan selesai hujung bulan ini.
Menurutnya, beliau kecewa apabila masih ada tandas sekolah yang rosak dan dibiar tidak terurus tanpa penyelesaian.
“Oleh itu, saya arah tandas sekolah yang rosak dibaiki untuk keselesaan anak-anak dan insya-Allah, semua baik pulih selesai bulan ini.
“Di sekolah, ada sahaja tandas yang rosak. Kalau ada lapan tandas, empat rosak. Ada empat tandas, tiga rosak. Hampir tidak ada sekolah yang tidak rosak tandasnya,” katanya dalam sebuah hantaran di laman Facebook.
Tambahnya, negara yang hebat dan maju serta mempunyai pelbagai polisi tidak seharusnya mempunyai masalah sekecil tandas sekolah yang tidak dibaiki.
“Negara kita hebat, negara maju. Macam-macam polisi, dasar ada. Jadi saya kata, sebelum kita bincang besar-besar, selesaikan (masalah) tandas anak-anak kita. Alhamdulillah, sekarang bulan September, sebelum awal Oktober insha-Allah, semua tandas di semua sekolah selesai dibaiki.
“Kita kira bangunan mercu tanda tinggi, jambatan paling panjang, yang hebat-hebat belaka tetapi tandas tempat anak-anak kita belajar pun tidak terurus. Mungkin tahun depan saya hendak tengok semua tandas masjid pula (dibaiki),” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, KPM mengagihkan peruntukan RM70,000 kepada setiap sekolah di seluruh negara.
KPM dalam masa sama, memberi tempoh tiga bulan kepada setiap sekolah untuk menyelesaikan kerja-kerja penyelenggaraan tandas untuk keselesaan setiap pelajar. – KOSMO! ONLINE