fbpx

Tiada trend kenaikan penyakit berkaitan jerebu di Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IPU tidak sihat iaitu melebihi bacaan IPU 100 menurun sejak pukul 3 petang, semalam di Melaka. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/ KOSMO!

MELAKA – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) telah melakukan pemantauan penyakit akibat jerebu melalui beberapa buah klinik kesihatan sentinel di seluruh Melaka dan Jabatan Kecemasan Hospital Melaka.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, Melaka telah mencapai indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat iaitu melebihi bacaan IPU 100 bermula pukul 2 petang pada 1 Oktober 2023, namun IPU telah menurun sejak pukul 3 petang, semalam.

Jelasnya, tiga penyakit berkaitan jerebu yang dipantau adalah asma, jangkitan selaput mata konjunktivitis dan jangkitan akut salur penafasan atas.

“Daripada analisa penyakit akibat jerebu yang dipantau ini, didapati tiada trend kenaikan yang ketara bagi penyakit-penyakit ini dari minggu epid kelima (awal bulan Mac) sehingga minggu epid ke-38 (sehingga 30 September 2023).

“Walau bagaimanapun, pemantauan penyakit akibat cuaca berjerebu masih diteruskan dari semasa ke semasa.

“JKN sentiasa peka dengan keadaan semasa cuaca dan sentiasa prihatin terhadap kes berkaitan penyakit akibat jerebu dan akan bertindak secara umumnya mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kualiti udara di seluruh negara hari ini didapati merosot dengan peningkatan kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat terutama di kawasan pantai barat Semenanjung.

Tambah Hee Sem, bagi pengurusan kesihatan pula, pihaknya mengikut garis panduan Pelan Tindakan Pengurusan Kesihatan Akibat Jerebu yang telah dikeluarkan Kementerian Kesihatan pada 2020.

“Kita juga ingin mengambil peluang menasihati orang ramai terutama golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan pesakit kronik agar sentiasa menjaga kesihatan dan mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian jangkitan salur pernafasan akibat jerebu,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI