fbpx

Syahril antara penerima tajaan Bank Rakyat lebih RM55,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Mohammad Hanis (dua dari kiri) bergambar bersama penerima Dermasiswa Pendidikan Bank Rakyat di Menara Berkembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Bank Rakyat hari ini menyampaikan tajaan pendidikan kepada tiga pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang berjumlah lebih RM55,000 menerusi Dermasiswa Pendidikan Bank Rakyat.

Antara penerima dermasiswa itu ialah Muhammad Syahril Saidi yang sebelum ini berkorban menjaga ibunya yang sakit, namun masih mampu memperoleh keputusan SPM 11A.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr. Mohammad Hanis Osman berkata, inisiatif julung kali dianjurkan itu bertujuan membantu golongan memerlukan selain menjana pembangunan modal insan negara yang mampan.

“Ini juga boleh membantu pelajar yang berpotensi menjadi prospek sumber tenaga kerja mahir dan generasi pewaris kepemimpinan negara yang tinggi nilainya,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Suar Bestari di Menara Berkembar Bank Rakyat, di sini hari ini.

Mohammad Hanis berkata, pemilihan penerima tajaan itu diambil kira secara keseluruhan dan bukan hanya memberi fokus kepada kisah-kisah yang tular sahaja.

“Insya-Allah, kita akan kembangkan inisiatif ini pada masa akan datang,” ujarnya.

Selain Muhammad Syahril yang merupakan pelajar Pengajian Islam Asasi Universiti Malaya, dua lagi penerima dermasiswa ialah Alia Maisarah Abdullah dan Khairunnisa Che Roslan dari Institut Pendidikan Guru (IPG).

Muhammad Syahril merupakan pelajar cemerlang dari Bachok yang menjadi yatim piatu apabila kehilangan ibunya akibat menderita penyakit saraf, tidak lama selepas mendapat keputusan cemerlang SPM.

Yayasan Bank Rakyat (YBR) sebelum ini juga pernah menyumbangkan bantuan kewangan kepada Muhammad Syahril untuk membiayai keperluan harian dan persediaan kemasukan pengajian ke  universiti.

Dalam pada itu, Muhammad Syahril ketika ditemui berkata, dia bersyukur atas bantuan dan tajaan yang diterimanya untuk meneruskan pengajian di peringkat pendidikan tinggi.

“Secara peribadi saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Bank Rakyat kerana ikhlas membantu saya untuk menyambung pelajaran” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI