fbpx

Sultan Nazrin rasmikan Balai Cerap Tan Sri Harussani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Nazrin berkenan merasmikan Kompleks Institut Tanah dan Ukur Negara serta Balai Cerap Tan Sri Harussani di Tanjung Malim hari ini. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/ KOSMO!

TANJUNG MALIM – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan merasmikan Balai Cerap Tan Sri Harussani di Kompleks Institut Tanah dan Ukur Negara (Instun) di sini.

Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, balai cerap moden yang pertama di Perak itu akan menjadi platform perkongsian ilmu falak kepada semua peringkat lapisan masyarakat.

Katanya, Instun juga bertuah kerana menjadi Institut Latihan Awam (ILA) tunggal yang memiliki fasiliti balai cerap bertaraf dunia.

“Patik bagi pihak Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku agar balai cerap ini dinamakan sempena Mufti Negeri Perak kelapan iaitu Allahyarham Tan Sri Dr. Harussani Zakaria setelah mengambil kira sumbangan beliau yang berkhidmat sebagai Mufti Negeri Perak dari tahun 1985 sehingga 2021.

“NRECC berharap, pembinaan Balai Cerap Tan Sri Harussani ini dapat meningkatan kesedaran umum berkaitan ilmu falak, kepentingan memulihara alam sekitar dan pembangunan yang mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis perasmian Kompleks Instun dan Balai Cerap Tan Sri Harussani sempena sambutan Jubli Perak Instun ke-25, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, sejak 1998, kira-kira 70,000 peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, khususnya warga pentadbiran tanah, ukur dan pemetaan telah mendapatkan latihan di Instun.

Tiong Sii berkata, bermula 2015, Instun mula melatih peserta luar negara di bawah peruntukan Kementerian Luar Negeri (KLN) iaitu Malaysian Technical Cooperation Programme (MTCP).

“Sehingga ke hari ini, Instun telah melahirkan lebih 80 orang alumni MTCP daripada 20 buah negara seperti Kemboja, Thailand, Myanmar, Filipina, Maldives, Mesir dan beberapa negara lain,” katanya.

Beliau berkata, sebagai sebuah ILA, Instun memainkan peranan aktif menyumbang kepada badan ilmu menerusi penerbitan ilmiah, kajian penyelidikan, depositori secara atas talian dan perkhidmatan Perpustakaan Instun.

“Penerbitan Jurnal Instun berjaya di masukkan ke dalam Indeks MyJurnal di bawah Pusat Sitasi Dan Infometrik, Kementerian Pendidikan Tinggi. INSTUN juga membangunkan Portal Informasi Tanah dan Ukur dengan kepakaran dalaman sebagai satu depositori dalam talian yang boleh boleh diakses oleh orang awam.

“Perpustakaan Instun pula memiliki 17,000 koleksi buku, jurnal dan terbitan bersiri yang menepati piawaian Perpustakaan Negara Malaysia,” katanya.  – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI