KETIKA ada segelintir pemerhati sukan mengkritik penganjur Sukan Asia Hangzhou kerana menyenaraikan e-Sukan sebagai salah satu acara, tetapi ia sebenarnya memberikan tuah buat Malaysia.
Kontinjen negara memanfaatkan sepenuhnya ‘kelebihan’ e-Sukan apabila meraih pingat kedua menerusi kejayaan pasukan Dota2 selepas skuad Arena of Valor (AoV) mencipta sejarah menenangi perak sebelum ini.
Skuad negara dibarisi Yap Jian Wei, Ng Wei Poong, Cheng Jin Xiang, Chan Kok Hong, Thiay Jun Wen dan Tue Soon Chuan memastikan podium selepas menewaskan Kyrgyzstan 2-0 pada perebutan pingat gangsa di Pusat e-Sukan Hangzhou semalam.
Kejayaan itu sedikit sebanyak mengubati kekecewaan barisan pemain yang berputih mata ke final selepas tewas 1-2 kepada kuasa besar Dota2 dunia, China di separuh akhir kelmarin.
Pujian harus diberikan kepada kontinjen e-Sukan negara kerana berjaya membawa pulang dua pingat daripada empat acara yang disertai termasuk Street Fighter V: Champion Edition dan League of Legends.