ISKANDAR PUTERI – Seorang kelindan sanggup berhabis RM7,000 bagi menyewa kepala treler dari Kedah semata-mata untuk melarikan ekor treler di kawasan perindustrian di Gelang Patah, 18 September lalu.
Bagaimanapun, tindakan lelaki itu tidak ‘balik modal’ apabila hanya sempat menggunakan ekor treler itu untuk tempoh dua minggu sahaja sebelum dicekup polis pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan ekor treler yang diletakkan di luar kilang daripada pemandu asalnya bulan lalu.
Beliau berkata, hasil risikan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, pihaknya berjaya mengesan dan menangkap suspek di Taman Nusa sentral, di sini kelmarin.
“Polis berjaya menahan suspek berusia 27 tahun itu ketika sedang memandu treler terbabit kira-kira pukul 2 petang.
“Berdasarkan siasatan awal, kita dapati suspek bertindak melakukan perbuatan itu adalah untuk kegunaannya sendiri, kita masih menyiasat apa muatan yang dibawa,” katanya pada sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Rahmat berkata, suspek turut bertindak mengecat semula ekor treler itu daripada warna biru kepada warna merah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Katanya, nombor casis pada ekor lori itu turut diganggu selain membuat pelekat palsu nama syarikat pada badan treler itu bagi menunjukkan ia sama seperti yang tertera pada kepala treler.
“Perbuatan itu terbongkar hasil pemeriksaan ke atas nombor casis serta bahagian ekor yang tidak dicat sepenuhnya di bahagian bawah treler itu,” katanya.
Katanya, suspek itu ditahan reman selama lima hari bermula semalam hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379a (1) Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE