SHAH ALAM – Kira-kira RM52.7 juta saman tertunggak pelbagai kesalahan lalu lintas masih belum dilunaskan melibatkan kenderaan perdagangan dalam tempoh lima tahun bermula 2018.
Pengarah Penguatkuasa Kanan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan berkata, ini melibatkan keseluruhan 175, 909 saman yang masih aktif di kalangan pemilik syarikat kenderaan perdagangan.
Katanya, Selangor menjadi negeri paling tinggi mempunyai saman tertunggak iaitu 61,940 saman diikuti Pahang (16,372) dan Perak (13,790).
“Mereka ini telah diberikan tempoh lunaskan saman, tetapi masih gagal melaksanakan tanggungjawab.
“Jadi tindakan lebih keras dan tegas akan dilakukan bagi mengingatkan mereka mematuhi peraturan tersebut,” katanya pada ketika ditemui pemberita selepas meninjau operasi kenderaan komersial di Plaza Tol Kota Kemuning, hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci pecahan kategori saman-saman tertunggak itu
Tegas Lokman, ini seterusnya menunjukan satu ketirisan kepada pematuhan lalu lintas dengan operasi pemutihan akan dilaksanakan kepada syarikat dan pemandu kenderaan perdagangan itu.
Ujarnya, operasi kenderaan perdagangan itu juga secara langsung mengesan mana-mana syarikat dan pemandu yang ingkar membayar saman dan telah disenaraihitam atau waran tangkap.
“Ops Patuh Khas fasa kedua melibatkan kenderaan perdagangan selama sebulan bermula 1 Oktober lalu ini turut memfokuskan ke arah membudayakan pematuhan undang-undang dan peraturan-peraturan keselamatan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“JPJ tidak akan berkompromi dengan pemeriksaan secara teliti akan dijalankan termasuk dari sudut teknikal, kompetensi pemandunya, perlindungan insurans dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang sah supaya layak berada di jalan raya,” katanya.
Dalam perkembangan berlainan, Lokman berkata, sebanyak 420,334 buah motosikal telah diperiksa dalam sepanjang September menerusi Ops Patuh Khas Fasa Pertama
“Hasilnya, 135,446 notis dikeluarkan dengan kesalahan utama dikesan adalah tiada perlindungan insurans (51,643) diikuti tiada lesen memandu (39,648), teknikal (12,550) dan langgar isyarat lalu lintas (1,758).
“JPJ juga telah menyita 6,567 buah motosikal yang diklasifikasikan tidak mematuhi piawaian keselamatan bagi kegunaan di atas jalan raya awam,” katanya. – KOSMO! ONLINE