BENTONG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran tindakan tegas akan dikenakan kepada pihak yang mengambil kesempatan menyorok beras sehingga memberi bebanan kepada orang ramai.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan badan penguatkuasaan mengambil tindakan tegas dan menyatakan kerajaan tidak teragak-agak mengheret pihak terlibat ke mahkamah.
“Saya beritahu Mohamad Sabu (Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan) arahan jelas kepada badan penguat kuasa kalau ada berani buat perangai buruk dalam orang susah cari beras, sorok, kamu jaga, kami cari kamu dan saman dan bawa ke mahkamah.
“Tengah orang susah, ketika itu kamu hendak cari untung,” katanya dalam Ceramah Mega Perpaduan Madani N.36 DUN Pelangai di Simpang Pelangai di sini hari ini.
Terdahulu, pada Majlis Perasmian Karnival Segalanya Felda, Anwar berkata kerajaan menyalurkan subsidi hampir RM400 juta bagi mengatasi isu kekurangan beras tempatan dan kenaikan harga beras.
Katanya, melalui pendekatan berkenaan kerajaan akan membayar subsidi kepada semua premis kerajaan yang diarahkan hanya menggunakan beras import selain subsidi bagi menurunkan harga beras import di Sabah dan Sarawak yang tidak mempunyai bekalan beras tempatan.
Dalam pada itu beliau berkata, Lembaga Pertubuhan Peladang dan Lembaga Pemasaran dan Pertanian Persekutuan (FAMA) diarahkan membantu pengedaran beras serta-merta jika berlaku kekurangan bekalam beras di mana-mana kawasan.
“Makanya kita cuba. Adakah kita yakin selesai 100 peratus? Tidak, kerana masalah berat. Jadi saya kata bagi masa seminggu untuk tengok keadaan.
“Kalau tidak selesai lagi, kita bincang tindakan sebelum Bajet pada 13 hari bulan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE