fbpx

Fama, LPP diarah edar beras putih tempatan di pedalaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika mempengerusikan Mesyuarat NACCOL di Putrajaya hari ini. - FOTO IHSAN PMO

PUTRAJAYA- Pengedaran Beras Putih Tempatan (BPT) terutama di kawasan pedalaman perlu dilaksanakan secara lebih proaktif bagi mengurangkan kesukaran rakyat dalam mendapatkan bekalan bahan mentah itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, susulan itu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) diarahkan untuk bertindak sebagai agensi pengedar BPT terutama di kawasan pedalaman.

Katanya, perkara itu diputuskan selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang turut dihadiri barisan Kabinet selain ahli-ahli Majlis NACCOL.

“Sebanyak tiga Kertas Pertimbangan dan dua Kertas Makluman yang menjurus isu kos sara hidup juga dibentangkan semasa mesyuarat ini.

“Mesyuarat telah berbincang berkenaan dengan kawalan harga bagi ayam bulat standard dan telur ayam yang telah dilaksanakan sejak Februari 2022.

“Adalah penting supaya hala tuju kawalan harga ayam dan telur ini dapat dimuktamadkan bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Katanya, kerajaan juga prihatin terhadap kepentingan rakyat ke atas akses bekalan ubat yang lebih kompetitif supaya rakyat mengetahui harga yang perlu dibayar dan mampu untuk membuat pilihan.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat bersetuju supaya perkara itu diperincikan oleh Kementerian Kesihatan sebelum dimuktamadkan.

“Kerajaan juga peka terhadap kemungkinan gangguan bekalan gula sekiranya tiada tindakan segera dilaksanakan bagi menangani isu berkaitan peningkatan harga gula mentah dunia.

“Sehubungan itu, kesemua perkara ini akan dibentangkan di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh masa terdekat bagi mendapatkan hala tuju serta dimuktamadkan,” katanya.

Anwar berkata, mereka juga mendapat penjelasan daripada Bank Negara (BNM) bahawa bank utama dan penyedia perkhidmatan e-dompet yang menerima pembayaran melalui DuitNow QR turut mengumumkan akan terus mengecualikan fi transaksi ke atas perniagaan mikro dan kecil.

“Selain itu, Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) juga akan memperuntukkan sumber bagi membantu membiayai kos yang ditanggung penyedia perkhidmatan pembayaran terutamanya penyedia bukan bank yang terus menawarkan pengecualian penuh kepada perniagaan mikro dan kecil,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI