fbpx

Pak Nil buka tabung bantu kos rawatan kanser Ibnor Riza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PAK NIL mewujudkan tabung khas demi membantu penyanyi Ibnor Riza yang kini menderita penyakit kanser limfoma.

PETALING JAYA – Sayu melihat kesungguhan Ibnor Riza bekerja bagi menampung kos rawatan penyakit kanser dihidapi, pengacara Datuk Aznil Nawawi mengambil insiatif membuka tabung bantuan bagi meringankan beban penyanyi era 1980-an itu.

Kata selebriti yang mesra disapa Pak Nil itu, hatinya kuat mahu membantu Ibnor yang menghidap kanser limfoma tahap empat selepas mengikuti video wawancara luahannya apabila terpaksa menjual kereta serta kembali mencari rezeki dalam keadaan diri tidak sihat.

“Baru-baru ini Pak Nil ada bertemu dengan Ibnor Riza. Dia (Ibnor) cakap masih lagi nak menyanyi untuk kos kesihatan dan sara hidup. Pak Nil tak tahulah dalam keadaan kesihatannya sebegitu, berapa banyak ‘show’ mampu dibuat.

“Berapa banyak pula duit yang boleh dia kumpul untuk kelangsungan hidup serta kos perubatan buat kimoterapi dan pada waktu sama perbelanjaan untuk ubat-ubatannya sangatlah mahal.

“Memang Pak Nil tergerak nak bantu. Kita membesar dengan lagu-lagunya dan Pak Nil buka akaun untuk anda sampaikan derma infak walaupun dia sendiri tak minta derma ini dilakukan,” katanya menerusi hantaran video dalam Instagram.

Menurut Pak Nil, 60, setiap orang boleh mendoakan penyanyi terbabit untuk sembuh, namun doa saja tidak mencukupi tanpa membantunya mendapatkan rawatan diperlukan.

Sebelum ini Kosmo! Online melaporkan  penyanyi berusia 62 tahun itu sedia kembali menyanyi bagi mencari belanja harian selain  kos kemoterapi yang dianggarkan berjumlah RM200,000 di sebuah pusat perubatan.

Selepas setahun tidak dapat bekerja kerana hilang suara, Ibnor mendedahkan membelanjakan kesemua wang simpanan sekitar RM80,000 untuk rawatan serta menjual tiga keretanya.

Mereka yang ingin sama-sama membantu boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 564735809375 di bawah nama Aznil Nawawi.

Pada Jun tahun lalu Pak Nil pernah mengambil inisiatif sama mengumpul dana untuk membiayai kos pembedahan tulang belakang penyanyi Zamani Slam yang menderita skoliosis atau masalah tulang belakang.

Hasil sumbangan melebihi RM100,000 membolehkan penyanyi popular itu menjalani pembedahan membetulkan tulang belakangnya yang melengkung pada 7 November 2022. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI