fbpx

Orang Asli Gua Musang diancam harimau terima bantuan RM73,350

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Mohamad Rizam (tengah) menyusun bakul makanan untuk diagihkan kepada masyarakat Orang Asli di Pos Bihai dan Belatim, Gua Musang di lobi Maik, Kompleks Balai Islam di Kota Bharu hari ini. Foto oleh ROSLIZA MOHAMED/ KOSMO!

KOTA BHARU – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) menyerahkan sumbangan berupa makanan asas berjumlah RM73,350 kepada masyarakat Orang Asli di Pos Bihai dan Belatim, Gua Musang yang terjejas ekoran gangguan harimau baru-baru ini.

Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, sumbangan tersebut bagi meringankan beban dan mengurangkan kebimbangan mereka apabila mengalami kekurangan bekalan makanan di kampung.

Menurutnya, seramai 304 ketua isi rumah (KIRI) di Pos Bihai dan 185 KIR di Pos Belatim menerima sumbangan berkenaan.

“Kejadian harimau masuk ke kawasan kampung itu menyebabkan penduduk Orang Asli tersebut takut untuk keluar mencari makanan dan mengusahakan ladang mereka.

“Maik prihatin dengan musibah dihadapi keluarga Orang Asli yang terlibat dengan segera menghulurkan bantuan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelepasan Misi Sumbangan Bantuan Bakul Makanan Kepada Orang Asli di pekarangan lobi Maik, Kompleks Balai Islam di sini hari ini.

Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan memberitahu, sebelum ini, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan telah membuat permohonan daripada Maik untuk menyampaikan bantuan berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Jakoa Kelantan dan Terengganu, Zarina Razlan berkata, bantuan Maik itu membolehkan Orang Asli terbabit meneruskan kehidupan selepas tidak dapat bekerja untuk tempoh tertentu.

“Saya difahamkan masih ada lagi harimau yang belum masuk perangkap selepas salah seekor daripadanya berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, seekor harimau belang jantan yang sebelum ini dipercayai membaham anjing peliharaan Orang Asli Pos Bihai di sini akhirnya memasuki perangkap yang dipasang Perhilitan pada Jumaat lalu.

Ekoran kejadian itu, hampir 1,000 penduduk Orang Asli di Pos Bihai mampu menarik nafas lega apabila haiwan liar yang berkeliaran di kawasan kampung mereka sejak lebih tiga bulan lalu berjaya ditangkap. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI