SEBERANG PERAI – Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2023 yang berlangsung ketika ini mendapat sambutan daripada pelbagai peringkat umur termasuk pelajar sekolah yang hadir pada karnival literasi kewangan terbesar itu semalam.
Pelbagai aktiviti dianjurkan pada hari ketiga antaranya ceramah mengenai simpanan dan pengurusan kewangan serta kuiz yang menawarkan pelbagai hadiah menarik buat pengunjung.
Seorang pelajar, Ku Nur Ain Afifah Ku Abdul Halim, 17, berkata, program selama sembilan hari sejak 30 September itu banyak memberi manfaat kepada golongan muda sepertinya.
“Ini kali pertama saya hadir pada program pengurusan kewangan. Menerusi program ini, saya memperoleh tip untuk membuat simpanan dan pelaburan sekiranya sudah bekerja nanti.
“Saya sendiri berminat untuk mengetahui terutama tentang pelaburan emas. Sudah tentu program ini menjadi platform terbaik untuk saya serta rakan-rakan,” katanya di sini semalam.
Ku Nur Ain Afifah merupakan antara 40 pelajar Sekolah Menengah Permatang Pasir yang menyertai Lawatan Kelab Pelaburan Bijak PNB (KPBPNB) di Setia Fontaines, Bertam.
Menerusi penyertaan pada lawatan itu, remaja tersebut memenangi hadiah baucar e-wallet berjumlah RM50.
Sementara itu, seorang lagi pelajar, Khairul Raaida Rosli, 17, berkata, dia sudah membuka akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) sejak kecil, namun mengakui kurang cakna tentang pelaburan tersebut.
“Selepas diberi penerangan, saya yakin untuk terus melabur dalam ASB. Sekurang-kurangnya dengan simpanan ini, ia dapat mengurangkan beban ibu bapa sekiranya mahu menyambung pelajaran kelak,” katanya.
Acara yang berlangsung sehingga 8 Oktober bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam ini turut menampilkan gerai rakan korporat MSAM 2023, syarikat strategik dan teras terpilih sekali gus membolehkan pengunjung memahami tentang pelaburan.
MSAM 2023 menyediakan pelbagai aktiviti pendidikan pelaburan dan pameran yang disertai 50 pempamer terdiri daripada syarikat-syarikat Kumpulan PNB, bank, badan kawal selia dan agensi kerajaan negeri.
Pengunjung MSAM 2023 yang mendaftar melalui PNB Events App turut berpeluang untuk memenangi hadiah hampir RM1.4 juta. Pendaftaran dan perkhidmatan pengangkutan untuk pengunjung adalah percuma.