fbpx

MSAM 2023: MNRB semat budaya menabung dari usia cilik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Fikri (kanan), Mohd. Nizam (tengah) dan Zul Pakar beramah!mesra bersama murid-murid SK Mak Mandin di Butterworth, hari ini. Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Ibu bapa memainkan peranan penting dalam menerapkan amalan menabung anak-anak demi masa depan yang lebih terjamin.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Family Berhad, Muhammad Fikri Mohamad Rawi berkata, kesedaran menabung perlu ditekankan sejak anak kecil lagi selain didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang dilaksanakan sama ada di rumah atau sekolah.

“Kami berperanan untuk memberikan pendekatan lebih mendalam menerusi pelbagai aktiviti untuk menggalakkan anak-anak menabung.

“Masyarakat Melayu ini kurang menabung maka kami banyakkan lagi aktiviti supaya keinginan mereka untuk menyimpan lebih meningkat.

“Menerusi program di sekolah, kami melaksanakan tanggungjawab korporat untuk menanam budaya suka menabung daripada usia muda lagi,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan tiga buah televisyen pintar sempena Program MNRB Bijak Menabung anjuran MNRB Holdings Berhad (MNRB) di Sekolah Kebangsaan Mak Mandin, Butterworth, hari ini.

Hadir sama ialah Naib Presiden dan Ketua Pegawai Kewangan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Mohd. Nizam Zainordin dan Guru Besar SK Mak Mandin, Zul Pakar Isa.

Program berkenaan diadakan sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2023 yang berlangsung dari 30 September sehingga 8 Oktober di Setia Fontaines, Bertam di sini.

Sementara, Muhammad Fikri berkata, pihaknya menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu tanggungjawab, pencerahan dan kesedaran mengenai menabung atau penglibatan dalam saham dimulakan daripada peringkat sekolah.

“Saya pasti Kementerian Pendidikan (KPM) akan menjalankan lebih banyak aktiviti berkaitan malah pihak korporat juga perlu membantu merancakkan usaha bagi memupuk kesedaran pelajar.

“Melalui platform MSAM, kami turut membuka banyak tapak pameran di mana kami rancak memperkenalkan produk Takaful dari segi perlindungan, sama ada perlindungan perubatan simpanan dan sebagainya.

“Rata-rata sambutan yang diterima sehingga kini amat memberangsangkan dan misi kami adalah untuk terus memupuk kesedaran awam mengenai kepentingan menyimpan demi masa depan,” katanya.

Antara rakan korporat MSAM 2023 adalah Maybank, Sime Darby Plantation Berhad, UMW Hol­dings Berhad, S P Setia Berhad selaku Rakan Premier.

Selain itu, Rakan Utama MSAM 2023 adalah Sime Darby Property Berhad, Malaysian Industrial Development Finance Berhad, Perodua, MNRB Holdings Berhad dan Sime Darby Berhad, manakala Duopharma Biotech Berhad dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. dalam kategori Rakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI