BANDAR JEFFERSON, MISSOURI – Sekumpulan saintis di Missouri menemui kepekatan tinggi mikroplastik di dalam sebuah gua yang ditutup kepada pelawat sejak tiga dekad lalu.
Laman berita Wion News melaporkan, kajian sebelum ini mendedahkan mengenai penemuan mikroplastik pada awan, air hujan dan beberapa bahagian tubuh manusia.
Namun, penemuan terbaharu mikroplastik di Gua Cliff, bandar St Louis itu diperincikan dalam dua kertas penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal Science of the Total Environment and Water Research.
Kajian itu dianggap luar biasa selepas penyelidik menghapuskan kehadiran manusia sebagai penyebab pencemaran mikroplastik kerana gua itu tidak pernah dimasuki sejak 1993.
Menurut penyelidik dari Universiti St Louis, Dr. Elizabeth Hasenmueller, banjir bukan sahaja menyumbang kepada kandungan mikroplastik lebih tinggi, namun ia juga membawa masuk bahan itu ke dalam air gua.
Apabila banjir surut, lebih banyak mikroplastik dimendapkan berhampiran mulut gua berbanding di lokasi yang lebih jauh di dalam gua.
Kajian itu juga mendapati bahawa mikroplastik adalah 100 kali lebih tertumpu di dalam sedimen berbanding di dalam air gua.
“Apabila air surut, bahan itu kekal di dalam sedimen gua, berpotensi untuk berada selama beberapa dekad atau lebih lama,” jelasnya lagi. – Agensi